KUALA LUMPUR, 9 Julai -Seorang penjaga parkir didakwa di tiga Mahkamah Majistret di sini atas 11 pertuduhan melibatkan ugutan jenayah, memiliki senjata tiruan dan mendatangkan kecederaan terhadap empat lelaki dalam beberapa insiden yang berlaku awal bulan ini.
Tertuduh, R. Sanjjiiv, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret M. S. Arunjothy, Noorelynna Hanim Abd Halim, dan Illi Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, R. Sanjjiiv didakwa atas lima pertuduhan tanpa sebab yang sah memiliki sepucuk pistol tiruan berwarna hitam bertulis 'M1911AI US Army ASGK Tokyo Marui Made in Japan' dalam papan pemuka kereta miliknya di lima lokasi berlainan antaranya di Jalan Sungai Besi, Jalan Klang Lama dan Taman Desa, dekat sini, antara pukul 10.00 dan 11.30 malam, pada 1 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Berbahaya 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bapa kepada dua anak itu turut berdepan empat pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap empat lelaki di tempat dan masa yang sama dengan niat untuk menakutkan mereka.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau tujuh tahun jika ugutan melibatkan niat mencederakan atau membunuh, atau denda atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, tertuduh turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua mangsa lelaki dalam dua kejadian berasingan pada malam yang sama.
Pertuduhan pertama, dia didakwa mencederakan seorang lelaki berusia 58 tahun dengan menggunakan pistol tiruan di tepi jalan berhadapan sebuah kondominium di Jalan Klang Lama pada pukul 11.30 malam.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menumbuk muka seorang lelaki berusia 30 tahun di Jalan Sungai Besi berdekatan Terowong SMART pada pukul 10.00 malam.
Bagi kesalahan itu, R. Sanjjiiv didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusyri, Iman Nurhidayah Ezani dan Nursyuhada Husna Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam Khairunnisa Azzahra Ghazalie.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM19,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua 11 pertuduhan, dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Ogos dan 4 September depan.
Terdahulu, video insiden melibatkan tertuduh mengacukan pistol tiruan terhadap seorang pemandu lain selepas kereta mereka terlibat dalam kemalangan kecil di Jalan Desa telah tular di media sosial.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, laporan mengenai kejadian itu diterima pada pukul 12.55 pagi, melibatkan seorang pemandu lelaki berusia 28 tahun.
Insiden dikatakan berpunca daripada pertengkaran, sebelum tertuduh didakwa mengeluarkan pistol dan mengacukannya ke arah pengadu.