fb fb fb fb fb

Pesara rugi RM221,500 diperdaya sindiket ‘phone scam’

Bekas pengurus kilang berusia 59 tahun itu menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai kakitangan hospital swasta dan anggota polis berpangkat Sarjan/Foto Hiasan

KUANTAN, 26 September - Seorang pesara wanita berusia 59 tahun kerugian sebanyak RM221,500 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan telefon atau ‘phone scam’.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa yang merupakan bekas pengurus kilang itu menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai kakitangan hospital swasta dan anggota polis berpangkat Sarjan.

“Mangsa didakwa membuat tuntutan insurans melalui panggilan telefon dan kemudiannya disambungkan ke panggilan video bersama seorang lelaki yang menyamar sebagai Sarjan polis.

"Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam urusan jual beli akaun bank bagi kegiatan penggubahan wang haram serta pembelian senjata api. Mangsa diugut dengan waran tangkap sekiranya gagal memberi kerjasama, dan diarahkan menyediakan wang jaminan sebanyak RM378,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terpedaya dengan helah itu, mangsa memindahkan wang simpanannya ke dalam akaun bank miliknya sendiri selain menyerahkan maklumat kad bank kepada suspek kononnya bagi tujuan siasatan.

Dalam tempoh 1 hingga 9 Ogos lalu, mangsa telah membuat lima transaksi pindahan wang.

Namun, pada 27 Ogos, dia mendapati baki akaun hanya tinggal RM109.78, sebelum sedar dirinya ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan RM150,000.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan membuat semakan segera sekiranya menerima panggilan telefon yang meragukan.

“Polis mengingatkan masyarakat agar tidak mudah panik, tidak menyerahkan maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali serta segera merujuk kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” tegasnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN