BUKIT KAYU HITAM, 26 September - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk ayam sejuk beku secara tidak sah ke negara ini hasil penahanan sebuah lori kontena di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Timbalan Komander (Pengurusan) AKPS Bukit Kayu Hitam, Dr. Mohd Khairul Anuar Roselan berkata pemeriksaan dijalankan kira-kira pukul 11.40 pagi semalam ke atas sebuah lori kontena bernombor pendaftaran tempatan dari negara jiran.
Pemeriksaan lanjut mendapati nombor CICOT yang tertera pada sijil halal tidak sepadan dengan maklumat pada bungkusan produk/Foto AKPS Bukit Kayu Hitam
“Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah 2,084 kotak ayam sejuk beku ditemui dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM228,510.
"Pemeriksaan lanjut mendapati nombor CICOT yang tertera pada sijil halal tidak sepadan dengan maklumat pada bungkusan produk, sekali gus menimbulkan keraguan dan disyaki sebagai satu bentuk pemalsuan atau maklumat mengelirukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kesemua barang rampasan telah disita dan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah untuk siasatan serta tindakan lanjut.