fb fb fb fb fb

JIM Kedah hantar pulang 138 PATI

FOTO JIM KEDAH

SIK, 26 September - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah telah menghantar pulang seramai 138 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara ke negara asal masing-masing.

Penghantaran itu dilakukan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2, selepas mereka selesai menjalani hukuman.

JIM Kedah menerusi satu kenyataan memaklumkan, daripada jumlah tersebut seramai 120 lelaki, 17 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki. Mereka terdiri daripada warganegara Mesir, Myanmar, Nepal, China, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, India dan Kemboja.

"Kesemua mereka sebelum ini ditempatkan di Depot Imigresen Belantik, Sik, Kedah, selepas ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Antara kesalahan dikesan termasuk masuk ke negara ini tanpa pas atau permit sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan," menurut kenyataan tersebut.

JIM Kedah menegaskan, program penghantaran pulang itu adalah sebahagian daripada usaha penguatkuasaan berterusan dalam memastikan pematuhan undang-undang imigresen selain menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE