fb fb fb fb fb

Cubaan bunuh polis: Bapa lima anak mengaku tidak bersalah

Mohd Ameerul Asraf Mohd Saipul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan atas pertuduhan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada tiga anggota polis, Sabtu lalu / BERNAMA

TELUK INTAN, 26 September - Seorang bapa kepada lima anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan atas pertuduhan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada tiga anggota polis di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang arah selatan, Sabtu lalu.

Tertuduh, Mohd Ameerul Asraf Mohd Saipul, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin.

Mengikut kertas pertuduhan, kejadian berlaku berhampiran stesen minyak Petron di R&R Behrang arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan Plus pada 20 September lalu, kira-kira pukul 11 pagi.

Perbuatan tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan kepada tiga anggota polis bertugas iaitu Mohd Azizul Yahya, Muhammad Lokman Nulhakim Mahdhir, Muniya Kaunden Satthi dan Noor Azam Man.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan, tidak menawarkan jaminan berikutan kesalahan itu dianggap serius.

Namun, peguam bela tertuduh, Nur Shaqira Ibrahim, memohon jaminan minimum kerana anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya bekerja sendiri.

Mahkamah menetapkan 31 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen berkaitan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE