fb fb fb fb fb

Lelaki disyaki pukul anak saudara ditemukan mati tergantung

FOTO HIASAN

BACHOK, 26 September - Seorang lelaki yang disyaki memukul anak saudaranya hingga parah dengan tukul di Kampung Jelawat, semalam, ditemukan mati tergantung pada sebatang pokok rhu di Pantai Melawi, Bachok.

Dalam kejadian kira-kira 5.15 petang itu, suspek berusia 46 tahun dipercayai menggantung diri di pantai berkenaan, kira-kira enam kilometer dari lokasi insiden melibatkan mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Mohd Azrie Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam berhubung kejadian seorang kanak-kanak cedera akibat dipukul.

Beliau berkata, hasil siasatan awal di lokasi mendapati rumah kedai di Kampung Jelawat itu merupakan tempat tinggal suspek.

“Suspek dipercayai memukul kepala anak saudaranya berusia tujuh tahun menggunakan tukul sebelum melarikan diri,” katanya.

Mangsa dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu dalam keadaan kritikal untuk menerima rawatan.

Suspek akhirnya ditemui tergantung pada sebatang pokok rhu di Pantai Melawi.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan perkembangan kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

2609 KTN PENGANGGUR BUNUH DIRI 123Lokasi suspek dipercayai memukul kepala anak saudaranya berusia tujuh tahun menggunakan tukul sebelum melarikan diri

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE