KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Seorang pesara kerugian RM90,541 selepas ditipu sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 59 tahun itu menerima pautan pelaburan menerusi aplikasi WhatsApp pada 11 Jun, daripada rakan wanita yang dikenali di Facebook.
“Suspek memujuk mangsa mendaftar untuk melabur. Mangsa membuat sedikit pelaburan dan mendapat pulangan RM2,767. Teruja dengan keuntungan itu, dia seterusnya melabur RM90,541 melalui sembilan transaksi ke enam akaun.
“Bagaimanapun, mangsa menerima mesej pada 2 Julai lepas memberitahu terdapat kesilapan pada transaksi terakhir dan perlu membayar denda RM31,400 selain dijanjikan pulangan RM432,000 jika pembayaran tersebut diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azli menjelaskan, mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - BERNAMA