KUALA LUMPUR, 4 Julai- Seorang ahli muzik lelaki berusia 46 tahun ditahan polis selepas disyaki memukul rakan serumahnya menggunakan batang pemegang gitar dalam kejadian di Pandan Indah, Ampang Jaya pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Azam Ismail menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi apabila mangsa, lelaki berusia 52 tahun, terdengar bunyi pintu bilik air dihempas.
Tidak berpuas hati, mangsa bertindak menghempas semula pintu tersebut sebelum suspek yang tinggal di bilik sebelah keluar dengan membawa batang besi dipercayai pemegang gitar, lalu memukul mangsa di bahagian tangan.
“Suspek turut mengugut akan membawa kawannya untuk memukul mangsa,” katanya.
Susulan kejadian itu, polis menahan suspek pukul 4.45 petang semalam di kawasan Pandan Jaya dan merampas sebatang pemegang gitar berwarna hitam bagi membantu siasatan.
Ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia negatif dadah, manakala semakan rekod jenayah mendapati tiada rekod lampau.
Mohd Azam turut memaklumkan suspek telah dibebaskan selepas keterangannya dirakam.
Siasatan lanjut mendapati kedua-dua individu terbabit pernah beberapa kali bertengkar sebelum ini akibat masalah bunyi bising alat muzik yang dimainkan suspek hingga mengganggu waktu rehat mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.