KUCHING, 4 Julai- Seorang pemuda berusia 24 tahun berdepan hukuman gantung sampai mati selepas ditahan memiliki dadah jenis ganja seberat lebih 7 kilogram dalam satu serbuan awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 1 pagi di kawasan Jalan Green, dengan nilai rampasan dadah dianggarkan lebih RM23,000.
Menurut beliau, suspek kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan lanjut.
“Hasil saringan awal mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.