KUALA LUMPUR, 4 Julai- Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini dipercayai terlibat dalam kegiatan pengumpulan dana bagi menyokong kumpulan pengganas Islamic State (IS) di Syria dan Bangladesh.
Ia turut giat merekrut ahli menerusi rangkaian sembang aplikasi WhatsApp dan Telegram yang kini dikenal pasti melibatkan antara 100 hingga 150 warga Bangladesh yang bekerja dalam sektor buruh.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata platform berkenaan turut digunakan untuk menyebar ideologi serta propaganda ekstremis.
"Aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram digunakan secara meluas untuk menyebarkan propaganda, melaksanakan proses bai'ah serta menyusun aktiviti secara rahsia termasuk sesi ta'alim dan juga perjumpaan ahli.
"Manakala pengumpulan dana untuk menyokong operasi militan ini termasuklah menggunakan aplikasi TNG, Bee Cash serta perkhidmatan penghantaran wang antarabangsa," katanya dalam sidang media di Bukit Aman.
Setakat ini, seramai 36 individu berusia antara 25 hingga 35 tahun telah ditahan menerusi tiga fasa operasi yang dilaksanakan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM di sekitar Selangor dan Johor.
Siasatan mendedahkan setiap ahli dikehendaki membayar yuran keahlian sebanyak RM500 setahun, manakala sumbangan tambahan dibuat secara sukarela menggunakan aplikasi dompet digital dan perkhidmatan atas talian.
Hasil siasatan lanjut juga mendapati tiada warganegara Malaysia terlibat dalam kumpulan tersebut dan GMRB tidak menyasarkan Malaysia sebagai lokasi serangan.
Bagaimanapun, polis sedang bekerjasama dengan Polis Antarabangsa bagi mengenal pasti rangkaian kumpulan itu.
Datuk Seri Mohd Khalid turut menegaskan, PDRM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk ancaman keganasan demi melindungi rakyat dan negara.