fb fb fb fb fb

Pesara rugi hampir RM400,000 terperdaya penipuan telefon

Foto hiasan

MUAR, 22 Disember - Seorang lelaki tempatan, merupakan pesara berusia 67 tahun kerugian sebanyak RM399,832 susulan kes penipuan telefon atau phone scam pada 18 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Muar Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Raiz Mukhliz Azman Aziz dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai ejen insurans, pegawai polis, dan pendakwaraya, yang menuduh mangsa terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.

"Mangsa diminta membuat laporan polis secara dalam talian dan membuka akaun bank baharu untuk siasatan Bank Negara. Mangsa telah membuat pindahan wang sejumlah RM400,000 dari akaun simpanan ke akaun baharu.

"Apabila transaksi dibuat, pengadu diminta membuat pindahan lain bagi wang jaminan serta caj peguam. Pengadu mula berasa curiga dan telah membuat semakan akaun baru miliknya mendapati wang didalam akaun berkenaan telah berkurang dimana hanya berbaki sebanyak RM168.00 sahaja," menurut kenyataan itu.

Bahagian Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar sedang menyiasat kes berkenaan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda.

Orang ramai turut dinasihatkan untuk lebih cakna berkenaan modus operandi penipuan dalam talian selain memberi penerangan kepada ibu bapa, ahli keluarga dan rakan-rakan mengenai bahaya jenayah itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI