KUALA TERENGGANU, 22 Disember -Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,000.
Tertuduh, Kamarul Hairie Elias, berpangkat Bintara Muda Maritim, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai berkenaan daripada seorang pemilik syarikat melalui orang tengah, yang dipindahkan secara dalam talian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Setiu, Terengganu.
Pertuduhan dikemukakan bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam Rahamathullah Bharudeen.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Selain, syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah.