KUALA LUMPUR, 21 Disember - Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), menasihatkan ibu bapa agar meningkatkan pemantauan terhadap penggunaan aplikasi dan platform kecerdasan buatan (AI) oleh anak-anak bersempena cuti sekolah yang bermula baru-baru ini.
Menurut JSJK, kebelakangan ini terdapat peningkatan penggunaan aplikasi dan platform AI berbentuk perbualan atau role-play yang menampilkan dialog berunsur emosi dan romantik, menyerupai gaya penceritaan novel. Antara contoh yang dikenal pasti termasuk aplikasi “Ask Drac dan seumpamanya .
"Walaupun dilihat sebagai hiburan, penggunaan aplikasi tersebut dikhuatiri boleh memberi kesan negatif terhadap kanak-kanak dan remaja, terutamanya dari sudut perkembangan emosi dan psikologi.
"Antara risiko yang dikenal pasti termasuk pembentukan ikatan emosi palsu, normalisasi hubungan tidak sihat serta manipulasi emosi, pendedahan kepada kandungan dewasa secara tersirat, selain berpotensi menyebabkan ketagihan emosi digital," kata JSJK menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
JSJK menjelaskan bahawa kanak-kanak dan remaja masih berada dalam fasa perkembangan emosi dan mudah terpengaruh dengan bentuk perbualan AI yang kelihatan “memahami” serta sentiasa memberi perhatian.
Sehubungan itu, ibu bapa disaran mengambil langkah proaktif dengan memantau aplikasi dan platform yang digunakan oleh anak-anak, mengaktifkan ciri kawalan ibu bapa (parental control), serta mengamalkan komunikasi terbuka tanpa pendekatan menghukum.
Selain itu, ibu bapa turut dinasihatkan agar tidak membenarkan penggunaan AI sebagai “kawan rahsia” yang menggantikan interaksi sosial sebenar.
JSJK mengingatkan bahawa tidak semua teknologi sesuai digunakan oleh semua peringkat umur, justeru kesedaran dan pengawasan berterusan amat penting bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan anak-anak.