fb fb fb fb fb

PGA tumpaskan sindiket seludup rokok putih bernilai lebih RM2.8 juta

Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara turut merampas sebuah lori serta menahan dua lelaki tempatan berusia 45 dan 53 tahun/FB Briged Tenggara PGA Rasmi

MACHANG, 21 Disember - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok tidak bercukai bernilai lebih RM2.8 juta menerusi Op Taring Wawasan Kelantan (OTWK) dalam satu serbuan awal pagi tadi.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain, berkata kejayaan itu dicapai hasil serbuan Batalion 9 PGA sekitar pukul 6.30 pagi di Jalan Kampung Pek, Machang, Kelantan.

Menurutnya, sepasukan anggota risik yang sedang melakukan rondaan rutin mengesan sebuah lori berwarna merah dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan ke atas kenderaan berkenaan.

Hasil pemeriksaan menemukan muatan kotak-kotak coklat yang dibaluti plastik lutsinar dan disyaki mengandungi rokok putih tidak bercukai.

Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan sebanyak 1.5 juta batang rokok putih dengan nilai anggaran  RM2.805 juta. 

"Polis turut merampas sebuah lori bernilai RM80,000 serta menahan dua lelaki tempatan berusia 45 dan 53 tahun.

"Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang untuk tindakan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Menurut SAC Ahmad Radzi, kejayaan operasi itu bukan sahaja mengekang aktiviti penyeludupan, malah berjaya memutuskan rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Pantai Timur Semenanjung.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI