JOHOR BAHRU, 15 Januari- Seorang pesara Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengaku tidak bersalah atas 89 pertuduhan menipu membabitkan pelbagai kerja perolehan di Kem Diraja (KD) Sultan Ismail berjumlah lebih RM1.07 juta, dua tahun lalu.
Pengakuan dibuat Haizad Ismail, 43 tahun di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini, selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu Kapten TLDM Shaiful Fadzli Ismail, sebagai Pegawai Memerintah KD Sultan Ismail dengan memperdayakannya pelbagai kerja perolehan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera, KD Sultan Ismail telah selesai dilaksanakan.
Perbuatan itu mendorong Shaiful Fadzli untuk memperakukan pembayaran keseluruhannya berjumlah kira-kira RM1.07 juta kepada 10 syarikat.
Semua perbuatan itu dilakukan ketika tertuduh bertugas sebagai Ketua Bahagian Logistik dan Material di KD Sultan Ismail Tanjung Pengelih di Kota Tinggi pada Oktober dan November 2023 .
Pendakwaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM39,000 bagi semua pertuduhan dan kes disebut semula, 15 April hadapan bagi serahan dokumen.