fb fb fb fb fb

Isytihar perabot untuk seludup bir bernilai RM1.18 juta termasuk cukai

FOTO RTM

BUTTERWORTH, 15 Januari- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyeludupan kontraban arak dan rokok dalam dua serbuan berasingan dianggarkan bernilai RM1.18 juta termasuk cukai.

Kontraban arak yang dipercayai dalam perjalanan kontena kapal dari Asia Timur ke Asia Selatan berjaya dihidu pihak JKDM Pulau Pinang di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 12 Disember lalu.

Berdasarkan semakan awal, sindiket berkenaan membuat ikrar dengan mengisytiharkan kontena itu membawa perabot selain didaftarkan menggunakan alamat syarikat palsu.

Pengarah JKDM Pulau Pinang, Rohaizad Ali berkata, sitaan melibatkan sejumlah 52,790 tin bersamaan 20,395 liter minuman keras jenis bir dianggarkan bernilai RM204,000 serta melibatkan duti cukai berjumlah RM912,000.

"Tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(a), Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976," katanya dalam sidang media hari ini.

Jelasnya, modus operandi sindiket tersebut ialah mamparkan ikrar yang tidak betul dalam usaha mengaburi mata pihak berkuasa.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari sepuluh kali atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih darI dua puluh kali nilai barang atau denda RM500,000 yang mana lebih besar  atau hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua -duanya sekali.

Dalam perkembangan lain, Rohaizad memaklumkan JKDM turut merampas rokok bernilai lebih RM5.84 juta pada 26 Disember lalu yang melibatkan duti berjumlah RM4.47 juta.

Rokok berkenaan ditemukan ketika Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri memeriksa sebuah kontena yang berlabuh di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor kira-kira 11.20 pagi.

“Kontena itu diisyhtiharkan membawa pakaian terpakai namun hasil pemeriksaan menemukan 22,500 karton mengandungi 4.5 juta batang rokok putih yang disembunyikan di sebalik 175 karton pakaian lusuh dan terpakai.

“Kesemua barangan disyaki tidak berkastam itu dianggarkan bernilai RM1.37 juta serta melibatkan duti berjumlah RM4.47 juta,” katanya.

Siasatan awal mendapati kontena itu dari Thailand dan transit di Pelabuhan Klang sebelum dikatakan akan menuju ke India.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE