JOHOR BAHRU, 15 Januari – Seorang bekas jurutera berusia 63 tahun kerugian sebanyak RM9.47 juta selepas terpedaya dengan pelaburan kripto tidak wujud yang menjanjikan pulangan sehingga 50 kali ganda.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata mangsa tertarik dengan iklan pelaburan di media sosial dan kemudiannya dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp selepas menekan pautan pada iklan tersebut.
Mangsa dihubungi oleh dua individu dan mula membuat transaksi pembayaran antara Oktober hingga Disember tahun lalu.
Sebanyak 29 transaksi telah dilakukan ke 11 akaun bank berbeza.
"Mangsa mendakwa telah memperoleh keuntungan RM88 juta, namun dimaklumkan perlu membuat bayaran tambahan sebanyak RM800,000 untuk mengeluarkan wang tersebut," kata M.Kumar menerusi kenyataan.
Tambah M. Kumar, selepas gagal menghubungi kedua-dua individu tersebut, mangsa akhirnya membuat laporan polis, pada Selasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.