IPOH, 15 Januari- Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kejadian pembunuhan seorang lelaki warga asing di tapak pembinaan di Taman Mengelembu, Ipoh, pada Jun tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, memaklumkan bahawa suspek berusia 37 tahun itu, juga seorang warga asing, ditahan semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Permohonan reman terhadap suspek telah dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Ipoh.
Semakan rekod jenayah mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Menurutnya, pada 18 Jun lalu, IPD Ipoh menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan seorang lelaki dalam keadaan muka bercalar dan tidak sedarkan diri di tapak pembinaan tersebut.
Siasatan awal mendapati mangsa, berumur sekitar 20 hingga 30 tahun, ditemui terbaring dengan mulut berdarah.
Mangsa juga mengalami enam kesan tikaman, kesan trauma akibat objek tumpul di bahagian kiri muka, serta kesan calar di bahagian badan. Identiti mangsa masih dalam proses semakan dan pengesahan pihak majikan.
Hasil bedah siasat yang dilakukan pada hari yang sama mengesahkan punca kematian adalah disebabkan kesan trauma objek tumpul di kepala.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat.