fb fb fb fb fb

Perbicaraan kes lelaki warga Israel ditangguhkan kali ketiga

Perbicaraan kes lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api, ditangguhkan untuk kali ketiga hari ini / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Januari – Perbicaraan kes lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api, ditangguhkan untuk kali ketiga hari ini.

Ini berikutan permintaan daripada pihak pembelaan yang memohon untuk mendapatkan jurubahasa Ibrani (Hebrew) bagi memudahkan proses perbicaraan.

Terdapat pertikaian mengenai jurubahasa Ibrani yang menyebabkan penangguhan kali kedua pada Selasa lepas.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam memaklumkan bahawa pihak pendakwaan telah bersedia dengan saksi-saksi, namun tidak membantah permohonan penangguhan yang dikemukakan oleh peguam Jeffrey Ooi yang mewakili Avitan Shalom.

Hakim Mahkamah Sesyen, Norina Zainol Abidin membenarkan penangguhan tersebut dan menetapkan tarikh 14 Februari depan untuk pengurusan kes seterusnya.

Avitan didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN