fb fb fb fb fb

Cubaan beri rasuah kepada polis, dua warga asing ditahan SPRM

Dua lelaki warga asing disyaki cuba memberi rasuah sebanyak RM1,000 kepada anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Januari – Dua lelaki warga asing disyaki cuba memberi rasuah sebanyak RM1,000 kepada anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin memaklumkan kedua-dua suspek, warga Pakistan berusia lingkungan 20-an dan 40-an, ditahan sekitar pukul 9.00 malam pada Ahad setelah diserahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada SPRM.

"Suspek utama didakwa cuba memberi rasuah sebanyak RM500 kepada anggota polis ketika ditahan di Lebuhraya Duta Ulu Kelang (DUKE) pada sekitar pukul 11.40 pagi. Tindakan itu susulan daripada kesalahan memandu motosikal tanpa lesen dan nombor plat tidak lengkap.

"Manakala, suspek kedua turut cuba memberi rasuah sebanyak RM500 kepada polis yang sama, dengan tujuan untuk melepaskan suspek utama, yang merupakan rakannya," katanya menerusi kenyataan.

Majistret Noorelynna Hanim Abdul Halim mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari hingga 19 Januari depan bagi suspek pertama, sementara suspek kedua dijangka dilepaskan hari ini dengan jaminan SPRM selepas memberi keterangan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan turut melibatkan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN