SHAH ALAM, 13 Januari – Seorang pembantu tadbir pihak berkuasa tempatan (PBT) didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,000 melibatkan kerja pembersihan antara tahun 2019 hingga 2020.
Tertuduh, Muhammad Amin Rosdan dijatuhkan hukuman oleh Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Amin didakwa menerima RM1,800 dan RM1,200 dalam akaun banknya daripada seorang lelaki berusia 31 tahun yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Klang antara 7 Mei 2019 hingga 13 Jun 2020.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, Muhammad Amin, yang bertugas sebagai penyelia di Unit Operasi Kebersihan Bandar Zon Tengah, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBSA, menerima wang tersebut bagi memastikan pihak tertentu tidak dikenakan Notis Tindakan Pembetulan (NTP) untuk tuntutan bulanannya.
Ketika prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung dua adik yang masih belajar.