fb fb fb fb fb

Peragut dicekup kurang 12 jam selepas 'buat kerja'

(FOTO Polis Kota Setar)

ALOR SETAR, 3 Januari- Seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun berjaya diberkas oleh Team Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar dalam tempoh kurang 12 jam selepas melakukan jenayah samun.

Suspek ditahan di sebuah rumah di sekitar Alor Setar, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dalam kejadian pukul 9.10 pagi Ahad lalu, suspek yang menunggang motosikal telah menolak jatuh seorang perempuan yang juga menunggang motosikal semasa melalui kawasan Kampung Berjaya, Alor Setar.

Suspek kemudiannya telah merampas dompet milik mangsa yang mengandungi beberapa dokumen diri serta wang tunai RM500.

“Sejurus laporan polis berkenaan kejadian diterima pada jam 9.31 pagi, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar telah mengerakkan pasukan cantas bagi mengumpul risikan dan maklumat bagi menjejaki suspek. Hasilnya suspek berjaya dikesan dan ditahan dalam serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di Alor Setar pukul 8.45 malam tadi (semalam). Turut dirampas, motosikal dan pakaian yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut,"katanya dalam satu kenyataan.

Akibat kejadian itu, mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian lengan kiri selain kerosakan pada motosikal.

Siasatan awal mendapati, suspek yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau serta tersenarai sebagai individu dikehendaki polis bagi kesalahan curi dan dadah mengaku terlibat dalam kejadian samun tersebut.

Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga mendatangkan kecederaan ke atas mangsa.


(FOTO Polis Kota Setar)

Media Baharu