KOTA BHARU, 7 Mei - Polis Kelantan berjaya mengurangkan aktiviti pencerobohan sempadan Malaysia-Thailand sebanyak 95.5 peratus, susulan kawalan ketat dan penutupan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sejak 1 Disember tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata sejumlah 57,722 cubaan pencerobohan direkodkan antara Julai hingga November 2023, namun angka itu menurun secara drastik kepada 2,596 kes dalam tempoh Disember hingga April tahun ini.
“Penurunan sebanyak 55,126 kes, iaitu 95.5 peratus, membuktikan keberkesanan tindakan penutupan sempadan dan kawalan yang lebih ketat dilaksanakan pihak polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.
Menurutnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan, termasuk rakyat Malaysia sendiri.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusoff berkata, kes penyalahgunaan dan penyeludupan dadah di Kelantan pula terus menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan sejak tahun lalu.
Katanya, seramai 18,254 individu ditahan pada 2023, dan angka itu melonjak kepada 29,785 tangkapan pada tahun lalu.
“Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini sahaja, sebanyak 12,370 tangkapan dibuat melibatkan pelbagai kes berkaitan dadah,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan polis Kelantan dalam membanteras aktiviti penyeludupan, khususnya melalui pangkalan haram di sempadan negeri ini.