TANGKAK 7 Mei: Dua wanita kerugian RM213,395 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud serta tawaran cabutan bertuah yang menawarkan wang tunai berserta telefon bimbit jenis iPhone 16 Pro.
Untuk kes pertama, mangsa berusia 53 tahun mendakwa kerugian RM178,700 selepas menyertai pelaburan ditawarkan kepadanya.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, berkata, mangsa tertarik dengan tawaran dijanjikan kemudiannya melakukan dua transaksi ke dalam dua akaun berbeza sejak Mac hingga April lalu.
Bagi kes kedua, mangsa berusia 33 tahun menanggung kerugian RM34,695 gara-gara terpedaya tawaran lumayan melalui media sosial.
“Dalam kes ini, mangsa dipercayai tertarik dengan hadiah ditawarkan sebelum membuat enam transaksi ke dalam enam akaun berbeza.
“Bagaimanapun, mangsa akhirnya mula mengesyaki sesuatu mencurigakan sebelum sedar dia ditipu sindiket terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Siasatan bagi kedua-dua kes masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.