JOHOR BAHRU, 26 Jun – Seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada seorang pengurus restoran, tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Azrul Nazwan A. Rani, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima wang suapan tersebut pada 25 Julai 2024, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurus berkenaan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Asmah Zainal Arifin mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Syafiq Mohd Ghazali.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Johor Bahru setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 5 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen kepada pihak pembelaan.