SEPANG, 26 Jun - Seorang pelajar perempuan sebuah universiti tempatan ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah kondominium di Cyberjaya, pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan penemuan pelajar berusia 20 tahun itu, dalam keadaan tidak sedarkan diri itu, kira-kira pukul 10.28 pagi.
"Hasil pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa, seorang pelajar perempuan sebuah universiti tempatan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati tidak terdapat sebarang kesan pecah masuk di kediaman mangsa.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Idris Shah Serdang untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di kepala akibat hentaman objek tumpul dan tiada kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan rogol,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Sehubungan itu, Norhizam berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohd Husny Hussien di talian 012-9307860 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Polis memandang serius insiden ini dan menyeru orang ramai agar bertenang, tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi maklumat tidak benar yang boleh menjejaskan siasatan serta tidak mengambil sebarang tindakan yang melanggar undang-undang,” katanya.