fb fb fb fb fb

Penjawat awam disyaki terlibat dalam kes pembunuhan Nur Farah Kartini direman tujuh hari

Suspek diiringi polis ketika meninggalkan mahkamah

KUALA KUBU BHARU, 16 Julai- Seorang penjawat awam yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang wanita dikenali sebagai Nur Farah Kartini Abdullah, direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 22 Julai depan.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza membenarkan reman terhadap suspek selepas lelaki berusia 26 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu sekitar pukul 8.53  pagi tadi.

Suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga itu direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek kemudian dilihat keluar meninggalkan kompleks mahkamah sekitar 9.45 pagi.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penemuan mayat seorang wanita di sebuah ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang Hulu Selangor.

Pemeriksaan awal mendapati mayat tersebut dipercayai adalah Nur Farah Kartini Abdullah; 25 tahun yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan Rabu lalu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE