fb fb fb fb fb

Penjawat awam direman empat hari, bantu siasatan kes rasuah RM30,000

FOTO HIASAN

SHAH ALAM, 11 September- Tiga individu termasuk dua penjawat awam direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM30,000.

Perintah reman selama empat hari sehingga 14 September 2024 terhadap kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40-an telah dikeluarkan oleh Majistret Ameera Mastura Khamis selepas permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.

Menurut sumber, suspek yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua orang wanita itu telah ditahan sekitar pukul 9 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Selangor.

“Dua suspek utama yang merupakan pegawai penguat kuasa dipercayai masing-masing menerima rasuah berjumlah kira-kira RM15,000 sebagai balasan untuk menukar keputusan laporan kimia melibatkan dua kes siasatan narkotik yang berbeza.

“Suspek disyaki menerima rasuah secara berasingan melalui transaksi pindahan wang yang berlaku pada 2021 dan 2022 ke akaun milik suspek daripada akaun bank suspek ketiga yang ditahan kerana disyaki turut bersubahat meminta dan menerima rasuah bagi pihak suspek utama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat bawah seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE