fb fb fb fb fb

Tiga warga Afrika didakwa rompak AS$30,000 di Mid Valley

Ketiga-tiga tertuduh dikawal ketat ketika tiba di mahkamah / FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 11 September- Tiga lelaki warga Afrika mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan merompak wang tunai milik seorang peniaga lelaki warga Jepun, bulan lalu.

Patrick Samba, 34, dan Ibrahim Jalloh, 36, masing-masing warga Sierra Leone serta Douglas Daniel Devine, 38, warga Liberia didakwa bersama-sama dua lagi individu melakukan rompakan berkumpulan terhadap Hiroyuki Azuma, 58, dengan merompak wang tunai AS$30,000 milik mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah restoran dalam pusat beli-belah Mid Valley pada 1.30 tengah hari, 9 Ogos lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Egusra Ali tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 25 September ini untuk sebutan kes.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE