fb fb fb fb fb

402 penghuni rumah amal dieksploitasi berjaya diselamatkan

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain

KUANTAN, 11 September - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan 402 orang mangsa terdiri daripada kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun yang merupakan penghuni rumah amal di negeri Selangor dan Negeri Sembilan yang dimiliki Syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB).
 
Kesemua mereka diselamatkan hasil serbuan 'Op Global' beberapa pasukan polis di 18 premis terletak di Selangor dan di Negeri Sembilan pada 6.00 pukul hingga 11.00 pagi tadi, yang membawa kepada penangkapan 171 orang terdiri daripada Ustaz, Penjaga Asrama dan Pengerusi Pusat pengajian.
 
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua tangkapan itu terdiri daripada 66 lelaki dan 105 perempuan berusia 17 hingga 64 tahun melibatkan siasatan kesalahan memperdagangkan orang dan mengekploitasikan kanak-kanak.
 
"Pagi tadi dalam pukul 6.00 hingga 11.00 pagi pihak polis dengan beberapa pasukan telah membuat serbuan ke 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan. Semuanya ada 20, daripada serbuan tersebut kita telah menangkap 171 penjaga Ustaz dan Pengerusi, dimana tangkapan 171 ini 66 adalah lelaki manakala 105 perempuan. Mangsa yang telah diselamatkan sejumlah 402 lelaki 201 orang dan perempuan 201 orang daripada  jumlah tersebut," kata Razarudin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK), di sini.
 
Beliau berkata, kesemua mangsa kanak-kanak yang diselamatkan akan menjalani saringan awal pemeriksaan kesihatan serta proses dokumentasi di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur yang dijangka mengambil masa 14 hari.
 
Jelas beliau pihak polis mendapati modus operandi digunakan kumpulan itu adalah mengajar cara meliwat selain dipaksa meliwat penghuni rumah amal yang lain.
 
Selain itu, bahagian tubuh mangsa disentuh penjaga kononnya untuk tujuan perubatan Islam.
 
Penjaga rumah amal juga didakwa menggunakan objek dipanaskan untuk mencederakan mangsa sebagai hukuman atas kesalahan dilakukan.
 
Kumpulan itu katanya, menggunakan sentimen agama untuk meraih simpati bagi mendapatkan sumbangan.
 
Manakala mangsa yang tidak sihat tidak dibenarkan mendapat rawatan sehingga berada dalam kritikal.
 
Tambah beliau, siasatan 'Op Global' itu menjurus kepada kesalahan bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 (792), Akta Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan Migran 20017 (Akta 670), Kanun Keseksaan (Akta 574) dan undang-undang lain yang berkuat kuasa.

TETITIA YUSOFF