fb fb fb fb fb

Penipuan pelaburan saham, pengurus syarikat swasta rugi lebih RM1.7 juta

Ketua Polis Johor, CP Datuk M. Kumar/Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 17 Jun- Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun mengalami kerugian lebih RM1.7 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham yang dijalankan menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Johor CP Datuk M. Kumar berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang pengurus syarikat swasta pada 12 Jun lepas yang mendakwa nombor telefonnya telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan saham ‘C-10 Freeman Saham 17’ pada April tahun ini.

“Mangsa dijanjikan keuntungan berdasarkan harga pasaran saham semasa iaitu anggaran lima hingga 10 peratus setiap hari berdasarkan modal pelaburan.

“Tertarik dengan tawaran, mangsa bermula 16 April hingga 30 Mei lalu telah membuat 12 transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berjumlah RM1,772,603,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata selepas pembayaran dibuat, mangsa bagaimanapun tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan sebaliknya diminta membuat bayaran tambahan hampir RM500,000 menyebabkan mangsa berasa curiga dan percaya telah ditipu.

“Sehingga kini, pulangan yang dijanjikan tidak diterima menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM1,772,603,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Kumar menggesa orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan sebarang tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan tinggi dengan mudah dalam masa singkat.

Beliau berkata orang ramai juga disaran membuat semakan dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti bagi mendapatkan kepastian serta maklumat lanjut mengenai pelaburan yang ditawarkan.

“Selain itu, gunakan perkhidmatan SEMAK MULE yang disediakan bagi menyemak status akaun bank dan nombor telefon suspek sebelum meneruskan sesuatu transaksi pembayaran,” katanya.

Polis turut menyeru orang ramai untuk lebih cakna dan mengambil tahu trend semasa jenayah komersial bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan serta mendapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersial melalui akaun rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di laman Facebook, Instagram dan TikTok.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH