fb fb fb fb fb

Pertuduhan amang seksual: Naim Daniel mengaku tidak bersalah

Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel (tengah) bersama-sama peguam Mohd Urwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif / Foto RTM

PUTRAJAYA, 17 Jun – Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan di sebuah hotel, bulan lalu.

Naim atau nama penuhnya, Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary dalam prosiding tertutup.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Urwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

Selain turut mengenakan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Ogos depan.

Mengikut pertuduhan, selebriti itu didakwa melakukan perbuatan amang seksual terhadap remaja berusia 17 tahun berkenaan di sebuah unit hotel di Selangor , 19 Mei lalu.

Kes dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD