LABUAN, 20 Mei- Hampir 150 kertas siasatan dibuka pada 2024, manakala setakat Januari hingga April tahun ini, sebanyak 44 kertas siasatan dibuka di Labuan berhubung kes penipuan kewangan dalam talian (scam).
Menurut Inspektor Risikan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan, Inspektor Anselm Aldelm Ambrews kes tersebut termasuk penyamaran menerusi panggilan telefon, jenayah e-dagang pembelian barangan dalam talian, pelaburan tidak wujud dan pinjaman tidak wujud.
Menerusi rancangan Bicara Eksklusif di LabuanFM, beliau berkata penjenayah siber bergerak seiring kecanggihan teknologi termasuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menipu mangsa. Selain, penggunaan kata laluan yang lemah dan sifat tamak ingin mengaut keuntungan mudah dan cepat melalui skim pelaburan tidak wujud.
Tambahnya, walaupun pelbagai langkah diperkenal termasuk kempen kesedaran, pengesahan dua faktor dan sistem pemantauan transaksi, kes penipuan kewangan meningkat saban tahun.
"Ia jelas menunjukkan kecanggihan teknologi perlu seiring kesedaran, sikap berwaspada dan pendidikan kendiri dalam kalangan masyarakat. Elak bersikap... saya takkan terkena, tegasnya.
Individu yang berdepan penipuan diminta terus tampil ke balai polis berdekatan, tanpa ragu dan malu.