fb fb fb fb fb

Kes curi lembu: Pemandu lori terbabit kemalangan FRU mengaku tidak bersalah

Rudi Zulkarnain hari ini sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan / Foto RTM

TELUK INTAN, 20 Mei- Pemandu lori yang sebelum ini didakwa atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), hari ini sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan.

Rudi Zulkarnain Md Radi 45 tahun, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri lembu seorang penternak di Hutan Melintang bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memindahkan dua ekor lembu milik Rozali Ismail daripada tempat asalnya iaitu Kebun Kampung Sungai Keli Hutan Melintang kira-kira pukul 6 petang, 14 April .

Kes disiasat mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 7 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hafizudin Khan Norkhan.

Mahkamah menawarkan jaminan tiga ribu ringgit kepada tertuduh dan menetapkan 16 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

Semalam, Rudi dilepaskan dengan jaminan selepas didakwa berdepan tuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengorbankan sembilan anggota FRU dalam kemalangan di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan.

Bagaimanapun, sebaik sahaja dibebaskan, dia ditahan semula bagi membantu siasatan kes curi lembu.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN