GURUN, 20 Mei - Sebuah premis premis haram memproses sisa elektronik atau ‘e-waste’ dikesan masih berdegil dan masih meneruskan operasi walaupun sudah beberapa kali diserbu serta dikenakan tindakan.
Premis di kawasan Perindustrian Gurun, Bedong, Kedah itu sekali lagi digempur malam tadi selepas didapati menjalankan aktiviti secara haram tanpa kelulusan Laporan Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) serta lesen daripada Jabatan Alam Sekitar, JAS.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 5 metrik tan buangan terjadual iaitu bateri terpakai mengandungi lithium dan 26 metrik tan buangan e-waste di dalam premis tersebut.
Susulan itu JAS telah mengeluarkan notis arahan di bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 34A (7), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 34B (1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi tindakan-tindakan pembetulan yang perlu dilaksanakan oleh premis.
Penahanan Kelengkapan Operasi (POK) untuk menghentikan operasi yang dijalankan secara haram tanpa sebarang alat kawalan turut dikenakan terhadap mesin-mesin pengeluaran yang menjadi punca kepada pencemaran alam sekitar.
Premis berkenaan juga telah diambil tindakan mahkamah dan beberapa kertas siasatan sebelum ini juga sedang dalam proses tindakan mahkamah.
JAS Kedah akan terus meningkatkan pemantauan bagi mengesan sebarang aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual secara haram yang boleh menyebabkan pelbagai masalah pencemaran kepada alam sekitar dan masalah kesihatan kepada orang awam.