BESUT, 28 November- Seorang peniaga sayur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Besut atas pertuduhan memandu secara melulu yang menyebabkan kematian tiga beranak pada Isnin lalu.
Muhammad Maani Salleh, 24, didakwa di hadapan Majistret Nurliyana Md Zukri di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) pindaan 2020.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara antara lima hingga sepuluh tahun dan didenda antara RM20,000 hingga RM50,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh Mohd Akmal Mohd Jaslee manakala Muhammad Maani diwakili oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Kemalangan yang berlaku di Kilometer 53, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Setiu pada 25 November lalu meragut nyawa tiga beranak, Kamarudin Ibrahim, 55, isterinya Maimunah Mat Isa, 54, dan anak mereka, Nur Ardiena Kamarudin, 30.
Ketiga-tiga mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.
Seorang lagi mangsa yang merupakan graduan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) turut cedera parah pada kaki dan tangan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan lesen memandu digantung sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 6 Januari 2025.
Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1987 kerana memasukkan bahan dipercayai dadah jenis nimetazepam ke dalam badan.
BERITA BERKAITAN