fb fb fb fb fb

Jenazah tiga beranak disemadikan dalam satu liang lahad

Ahli keluarga terdekat memberi penghormatan terakhir kepada jenazah tiga beranak yang selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Pekuburan Maras, Langgar/ BERNAMA

KOTA BHARU, 25 November- Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu awal pagi tadi selamat dikebumikan pada pukul 9.40 malam tadi.

Jenazah Kamarudin Ibrahim, 55 tahun, Maimumah Mat Isa, 54 tahun dan anak mereka Nur Ardiena Kamarudin, 30 tahun dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Maras, Kota Bharu, Kelantan.

Jenazah tiga beranak itu tiba di perkarangan tanah perkuburan pada jam 9 malam diiringi lebih 200 ahli keluarga dan kenalan selepas dibawa pulang ke rumah mereka di Lorong Merican, Telipot dan disembahyangkan di Masjid Sultan Muhammad II, Kota Bharu, selepas solat Isyak

Sementara itu adik bongsu kepada Allahyarham Kamarudin, Mohd Shahidin Ibrahim berkata, dia tidak sempat berjumpa dengan arwah abangnya sebelum mereka sekeluarga bertolak ke Jempol, Negeri Sembilan untuk menghadiri majlis Konvokesyen Nur Azwa Shamimi Kamarudin di Universiti Antarabangsa UNITAR, Putrajaya.

Bagaimanapun Mohd Shahidin sempat berhubung kali terakhir dengan abangnya sebelum menerima berita duka yang menimpa mereka sekeluarga pagi tadi.

"Hari Khamis semasa bertolak tak sempat berjumpa dengan Kamarudin. Pagi tadi pukul 7.00 menerima perkhabaran tersebut. Selepas tu terus ke hospital untuk pengecamanjenazah," katanya kepada pemberita di sini.

Dalam kemalangan awal pagi tadi, tiga beranak dilaporkan maut manakala seorang lagi parah apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di kilometer (km) 53 Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Kampung Sungai Lerek, Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan (DSP) Mohd Zain Mat Dris berkata, mereka yang terkorban dalam kemalangan pada pukul 4.50 pagi itu ialah pasangan suami isteri Kamarudin dan Maimunah serta anak mereka Nur Ardieana yang memandu kenderaan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI