fb fb fb fb fb

Peniaga didenda RM3,500 miliki karkas lembu, kerbau disembelih tidak berlesen

Abdullah Ismail, 33, (tengah) selaku orang kena saman (OKS) dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda itu/Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 3 Mac – Seorang peniaga dikenakan denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 798.6 kilogram karkas lembu dan kerbau yang disembelih di rumah penyembelihan tidak berlesen pada 16 Disember tahun lalu.

Majistret Yuhanis Mohd Roslan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Abdullah Ismail, 33, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh selaku orang kena saman (OKS)  menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki karkas lembu dan kerbau yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang dilesenkan dengan melanggar peruntukan di bawah Keadah 5(3), Keadah-Keadah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.

Kesalahan itu dilakukan ketika pihak berkuasa menjalankan serbuan ke atas sebuah lori miliknya di pekarangan Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), pada pukul 8.30 pagi, 16 Disember lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah, memohon agar mahkamah mengenakan denda minimum sebagai pengajaran kepada tertuduh dan peniaga lain agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, turut mengalami kerugian kira-kira RM20,000 selepas karkas yang dirampas dalam operasi tersebut tidak dapat dikembalikan.

GRACE AISYAH KEDAYAN