fb fb fb fb fb

Penganggur ditahan, dadah RM58,400 dirampas - Polis Melaka

Christopher Patit (tengah) bersama rampasan dadah yang dianggarkan boleh digunakan oleh 21,159 penagih/RTM

BATU BERENDAM, 3 Mac- Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM58,400 dalam satu operasi di Banda Hilir, Melaka pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Christopher Patit berkata suspek yang juga seorang penganggur itu ditahan sekitar pukul 10.00 malam.

"Hasil risikan awal mendapati suspek bergerak secara solo dan aktif mengedar dadah untuk pasaran tempatan sejak sebulan lalu. Modus operandinya adalah dengan meninggalkan bekalan di lokasi tertentu sebelum diambil oleh pelanggan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sini hari ini.

Christopher berkata dadah tersebut dianggarkan boleh digunakan oleh 21,159 penagih. Antara dadah yang dirampas termasuk cecair dan serbuk ekstasi, serbuk ketamin, pil ekstasi serta pil erimin 5. 

Suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau didapati negatif dadah. Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 2 Mac hingga 8 Mac bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI AISHAH MD ISA