fb fb fb fb fb

Pengusaha ikan hiasan didakwa miliki dua laras senjata

Soon Hoe Jin, 58 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Balik Pulau

BALIK PULAU, 17 Januari- Seorang pengusaha ikan hiasan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memiliki dua laras senjata pada Isnin dan Selasa lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Soon Hoe Jin, 58 tahun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan berwarna hitam coklat di tepi kotak Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Dato Ismail Hashim, Sungai Ara, kira-kira pukul 9.30 malam pada 13 Januari lalu.

Kesalahan tersebut mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000.

Tertuduh, diwakili peguam Eddie Kwang merayu jaminan tersebut dikurangkan bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

Hakim membenarkan jaminan sebanyak RM4,,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh turut didakwa memiliki sepucuk senjata api jenis Revolver 38 di dalam stor rumah Mukim 4, daerah Barat Daya, kira-kira pukul 12.25 pagi, 14 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan enam kali sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong mencadangkan mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan terhadap tertuduh memandangkan ia merupakan satu kesalahan yang berat iaitu memiliki senjata api.

Hakim kemudiannya tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang diwakili peguam sama dan menetapkan 9 April depan sebagai sebutan semula kes.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI