KUALA PERLIS, 17 Januari- Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya mematahkan cubaan penyeludupan pelbagai komoditi melibatkan dadah jenis kanabis, rokok, peralatan dapur dan kosmetik serta daun ketum bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Januari tahun ini.
Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM333,279 dan melibatkan cukai dan duti sebanyak RM4,167.40.
Pengarah JKDM Perlis Ismail Hashim berkata, kejayaan berkenaan melibatkan lima operasi berlainan sekitar Kangar, Kuala Perlis dan Padang Besar.
"Kejayaan ini merupakan usaha yang dilaksanakan secara kolaborasi strategik antara unit, cawangan dan bahagian di JKDM.
"Pelaksanaan strategi rangkaian bersandarkan kepada amalan cekap, tangkas dan berintegriti merupakan salah satu matlamat yang ingin dicapai oleh JKDM melalui tadbir urus yang baik di semua peringkat aktiviti penguatkuasaan yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Khas Kejayaan JKDM Perlis Mematahkan Penyeludupan Barangan Tidak Berkastam dan Dadah di Cawangan Penguatkuasaan Marin Kuala Perlis di sini.
Dalam operasi pada 1 Januari lalu, JKDM berjaya merampas 5,800 batang rokok tidak berkastam di dua lokasi sekitar Kuala Perlis dan Beseri dengan nilai rampasan RM1,884 dan cukai sebanyak lebih RM4,000 serta menahan dua lelaki berusia 27 dan 35 tahun.
Sementara itu, menerusi operasi pada pada tarikh sama di ICQS Padang Besar, JKDM berjaya merampas peralatan dapur, ubat-ubatan dan kosmetik tidak berkastam berjumlah RM695 dan cukai RM151 serta menahan sebuah kenderaan.
Manakala pada 6 Januari, Cawangan Marin Kuala Perlis merampas 89 ketulan mampat dadah jenis kanabis seberat 89.481 kilogram bernilai RM275,900 di kawasan hutan paya bakau Kuala Perlis.
Pada 10 Januari lalu, JKDM merampas 1,370 kilogram daun ketum bernilai RM54,800 di perairan Kuala Perlis yang cuba diseludup ke Thailand serta menahan dua buah sampan.