GEORGE TOWN, 16 Disember - Seorang pengurus sebuah syarikat swasta kerugian RM2.54 juta selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai siber sekuriti.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail menerusi satu kenyataan memaklumkan, lelaki berusia 54 tahun itu membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada Ahad lepas selepas menyedari menjadi mangsa penipuan.
“Pada 21 Februari lepas, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai siber sekuriti, memaklumkan terdapat 16 aduan terhadap nombor telefonnya yang dikaitkan dengan kes tipu pelaburan serta penyebaran maklumat palsu.
"Mangsa diminta membuat laporan polis dalam talian dan panggilan itu kononnya disambungkan kepada seorang pegawai polis dari Bukit Aman. Suspek mendakwa mangsa juga disyaki terlibat kegiatan pengubahan wang haram serta pengedaran dadah,” katanya.
Datuk Azizee berkata suspek mendakwa waran tangkap telah dikeluarkan dan meminta mangsa mengikut arahan untuk tujuan siasatan bagi mengelak ditahan. Mangsa kemudian diarahkan membuka tiga akaun bank baru dan meletakkan kad ATM berserta nombor PIN dalam satu sampul sebelum diletakkan di bawah pasu di hadapan rumahnya, dengan janji wang dan kad akan dipulangkan selepas siasatan selesai.
“Bermula 4 Mac hingga 22 September lepas, mangsa melakukan 12 pindahan wang ke dalam tiga akaun tersebut dan diminta membuat bayaran tambahan sebelum akhirnya kehabisan wang pada 13 Disember,” katanya.
Polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan rangkaian sindiket berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.