KOTA KINABALU, 16 Disember - Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata serta penderaan terhadap kanak-kanak yang tular menerusi rakaman video di media sosial.
Ketua Polis Daerah, ACP Kasim Muda menerusi satu kenyatan mengesahkan penahanan lelaki berusia lewat 30an tersebut.
"Kejadian dilaporkan berlaku pada 14 Disember, kira-kira pukul 11.55 malam di sebuah premis perniagaan sekitar Kota Kinabalu, melibatkan sekumpulan pelajar sebuah madrasah dan seorang lelaki dewasa," menurut kenyatan itu.
Kes disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi semua pihak terlibat.
Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan di balai polis berhampiran.