KUALA LUMPUR, 17 Januari - Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini melepas dan membebaskan empat ahli lembaga pengarah serta seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat yang didakwa membuang bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang, lima tahun lepas.
Hakim Nor Rajiah Mat Zin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik iaitu Yip Kok Wai, 58; Yip Kok Mun, 63; Yip Kok Kuin, 55; dan Yip Kok Weng, 65, serta pengurus syarikat itu Ho Voon Leong, 64, di akhir kes pendakwaan.
“Setelah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan dan membuat pernilaian secara maksimum, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama hingga kelima atas kedua-dua pertuduhan dihadapi mereka.
“Oleh itu, kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” kata hakim itu.
Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan RM400,000 bagi setiap tertuduh dan pasport mereka dikembalikan. - BERNAMA