fb fb fb fb fb

Lelaki ditahan miliki pakaian seragam logo PDRM

Pakaian seragam pengawal peribadi yang menggunakan lencana kolar (collar batch) milik PDRM dirampas pihak polis/Foto Polis Sepang

SEPANG, 17 Januari - Seorang lelaki ditahan polis kerana memiliki peralatan yang menyerupai milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pusat beli-belah di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini pada pada 12 Januari lalu.

Timbalan Ketua Polis Sepang, Penguasa Polis (Supt) Shan Gopal Krishnan berkata, polis mendapati lelaki berusia 35 tahun itu menyimpan sepasang pakaian seragam pengawal peribadi yang menggunakan lencana kolar (collar batch) milik PDRM di dalam kenderaan yang dipandunya.

“Suspek gagal memberikan alasan munasabah bagaimana dia memperoleh peralatan tersebut.

"Ujian saringan air kencing terhadap suspek menunjukkan keputusan negatif, namun semakan rekod mendapati lelaki itu mempunyai tiga kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 15 Januari lalu di bawah Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Suspek bagaimanapun mengaku bersalah dan dikenakan hukuman denda sebanyak RM50.

GRACE AISYAH KEDAYAN