fb fb fb fb fb

Pengurus syarikat didenda RM30,000 palsukan dokumen import sisa plastik

Tertuduh, Ch’ng Wilson mengaku bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat memalsukan dokumen bagi membawa masuk empat kontena sisa plastik dari Kanada

KUALA LUMPUR, 11 Julai - Seorang pengurus syarikat kitar semula dikenakan denda RM30,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat memalsukan dokumen bagi membawa masuk empat kontena sisa plastik dari Kanada.

Tertuduh, Ch’ng Wilson, 34, membuat pengakuan di hadapan Majistret Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Ch’ng bersubahat dengan adiknya, Ch’ng Wei Jee, 26, dengan secara tidak jujur menggunakan tiga dokumen tulen sebagai dokumen sokongan bagi permohonan lesen import.

Kesalahan dilakukan pada 7 Februari 2022 di Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Putrajaya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 dan 465, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah membantu sebuah syarikat kitar semula memohon kelulusan permit import (AP) menggunakan tiga invois palsu.

Siasatan mendapati, syarikat berkenaan hanya diberi kebenaran mengimport sisa plastik dari Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong dan United Kingdom.

Tertuduh turut mengarahkan adiknya memohon tiga AP menggunakan nama dagangan yang didaftarkan atas nama Wei Jee bagi membawa masuk keempat-empat kontena dari Kanada.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Jia Qi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE