fb fb fb fb fb

Pengurus projek didakwa terima rasuah RM50,000

Zairulnizam Rohani didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM50,000 membabitkan projek pembinaan lebuh raya

JOHOR BAHRU, 23 Januari- Seorang pengurus projek sebuah anak syarikat konsesi lebuh raya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM50,000 membabitkan projek pembinaan lebuh raya, pada Disember 2023.

Bagaimanapun tertuduh, Zairulnizam Rohani, 47 tahun, mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima suapan iaitu wang tunai masing-masing berjumlah RM10,000 dan RM30,000 secara pemindahan dalam talian ke dalam akaun bank milik isterinya, sebagai upah membantu sebuah syarikat kontraktor membina dan menyiapkan projek lebuh raya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Taman Universiti, Skudai, Johor Bahru, Johor, antara 7 hingga 13 Disember 2023.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), boleh dihukum mengikut seksyen 24(1) akta sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Asmah Zainal Ariffin, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Salleh Tugimin.

24 Februari hadapan ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen serta dikenakan jaminan sebanyak RM25,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI