fb fb fb fb fb

Pengurus inap desa rugi lebih RM62,000 tertipu pelaburan dalam talian

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU, 24 Disember- Seorang pengurus inap desa kerugian RM62,214 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan bitcoin secara dalam talian.

Kejadian berlaku pada 19 Disember lalu apabila mangsa seorang lelaki berusia 30 tahun menyertai kumpulan Telegram XRP Community Malaysia yang menawarkan pelaburan bitcoin berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner (ACP) Azli Mohd Noor berkata, mangsa berasal dari Chendering itu tertarik dengan pelaburan tersebut dan menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Mangsa telah membuat dua transaksi berjumlah RM62,214.59 ke aplikasi pelaburan bitcoin iaitu Trust Wallet yang dimuat turun terlebih dahulu.

"Pengadu kemudiannya diberikan imbasan Kod QR untuk diimbas atas alasan pengesahan kontrak pelaburan AI," kata Azli Mohd Noor.

Bagaimanapun selepas membuat imbasan mangsa mendapati pelaburan bitcoin dalam Trust Wallet miliknya telah dipindahkan ke aplikasi pelaburan bitcoin lain yang tidak dikenali.

Lelaki berkenaan yang cemas cuba menghubungi suspek namun tidak berjaya seterusnya membuat laporan polis pada Jumaat lalu.

Wang pelaburan berkenaan adalah simpanan ibunya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Pada masa sama Azli Mohd Noor turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sebarang bentuk pelaburan tidak pasti.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI