fb fb fb fb fb

Warga emas antara 13 lelaki ditahan, disyaki terlibat CSAM

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Disember - Polis menahan 13 lelaki disyaki melakukan kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak (CSAM).

Semua suspek berusia antara 20 hingga 74 tahun itu ditahan menerusi Op Pedo Bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada 23 Disember.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan berkata, operasi itu dijalankan di enam buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati, pelbagai peranti dan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah dirampas. Lebih kurang 40,000 bahan CSAM dan pornografi dewasa ditemui," menurut Razarudin.

Kesemua suspek ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah. Kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Kanak-kanak 2017 dan memiliki bahan lucah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Razarudin turut menasihatkan orang ramai khususnya golongan remaja agar meningkatkan kawalan kendiri, menjaga batas moral dan adab bersosial dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa jenayah seumpama itu.

Pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah dan tindakan tegas akan diambil kepada pelaku jenayah.

TETITIA YUSOFF