fb fb fb fb fb

Penghantar alat ganti tidak mengaku perdaya, tawar pinjaman tidak wujud

(Tertuduh diiringi polis ketika tiba di perkarangan mahkamah)

SEREMBAN, 10 Februari- Seorang penghantar alat ganti kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan memperdaya seorang wanita dengan menawarkan pinjaman tidak wujud.

Tertuduh, Jaminder Singh Dershan Singh, 37 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret, Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan curangnya telah menipu seorang wanita berusia 41 tahun bagi mendapatkan wang dengan menawarkan pinjaman tidak wujud dengan  meminta mangsa membuat pembayaran sehingga 14 kali transaksi sebanyak RM4,500 ke dalam dua akaun bank berbeza milik tertuduh untuk mendapatkan pinjaman wang yang dijanjikan sebanyak RM1,000.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah hospital swasta di Seremban pada 29 Disember tahun lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya, Nurul Muhaimin Mohd Azman menawarkan wang jaminan sebanyak RM7,000.

Tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), J.Daseneang.

Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jaminan RM3,500 dan sebutan semula kes pada 13 Mac depan.


(Tertuduh diiringi polis ketika tiba di perkarangan mahkamah)

Media Baharu